IQNA

Kenapa ada yang tinggalkan agama selepas banyak berfikir?

13:13 - February 12, 2022
Berita ID: 3100758
TEHRAN (IQNA) - SECARA logiknya semakin manusia memahami fungsi akal dalam memahami sesuatu, semakin mereka akan dekat dengan tuhan.

Namun realiti dunia hari ini menunjukkan sebaliknya. Semakin seseorang mengetahui, semakin mereka jadi jauh dengan agama. Orang-orang yang sebelum ini beragama, menjadi free-thinker dan Atheist setelah pandai berfikir. Bahkan orang Islam sendiri boleh meninggalkan agama mereka selepas banyak berfikir.

Ini berpunca daripada hasil didikan Barat yang bertunjangkan kepada pemikiran materialistik. Oleh kerana matlamat mereka mengejar dunia, maka epistemologi ilmu juga difahami secara keduniaan semata-mata. 

Lahirlah pemikiran Saintisme yang menganggap segala perkara boleh diketahui dengan method sains, sama ada secara kajian empirikal mahupun logikal atau rasional.

Pemikiran ini muncul seiring era kebangkitan Barat (Renaissance) daripada Rene Descartes yang kemudian disambung oleh Spinoza, Leibniz, Locke, Hume dan lain-lain.

Descartes percaya, semua pengetahuan datang daripada pancaindera. Tidak dinafikan, kepercayaan tersebut boleh dipakai dalam memahami sebahagian fenomena alam nyata ini melalui kajian makmal dan radas-radas uji kaji seperti mikroskop, teleskop, penyukat, pengimbas dan seumpamanya. 

Namun apa yang perlu difahami adalah, alam ciptaan tuhan ini tidak terhad kepada alam nyata ini sahaja. Di sana terdapat alam ghaib seperti alam roh dan alam jin. 

Menurut Imam Ghazali, alam nyata difahami dengan pancaindera. Alam ghaib pula difahami dengan ‘cahaya’ dan basirah

Inilah perkara yang tidak difahami oleh peradaban Barat. Mereka tidak faham melainkan apa yang pancaindera mereka boleh terjemahkan kepada akal. Lalu mereka menghukumkan bahawa alam itu hanyalah yang nyata semata-mata.

Empirikalisme yang diajar melalui pendidikan Sekular sedikit sebanyak memberi kesan kepada umat Islam. Ramai pengamal perubatan yang tidak percaya kaitan masalah kesihatan dan gangguan alam ghaib. 

Ramai ahli psikologi yang tidak mempercayai pengaruh agama kepada akal dan emosi manusia. Ramai pakar undang-undang yang tidak yakin Syariat Islam boleh menyelesaikan masalah manusia. 

Barah ini dibincangkan secara mendalam oleh Syeikh Abdurrahman Habannakah di dalam buku al-Basair. Beliau menjelaskan, terdapat lima gambaran kefahaman manusia di mana pemikiran secara empirikal adalah gambaran kefahaman yang tidak sempurna (نَاقِص). 

Tetapi masalahnya manusia menjadi ghuluw (melampau) apabila menganggap kefahaman yang tidak sempurna itu adalah sebenar-benar kefahaman. Mereka menyimpulkan sesuatu daripada maklumat yang tidak cukup (generalization). 

harakahdaily

captcha