IQNA

‘Rizab alam semula jadi’ helah zionis rampas tanah Palestin

10:35 - September 27, 2021
Berita ID: 3100204
TEHRAN (IQNA) - Setahun sebelum wakil Israel dan Palestin mengadakan pertemuan di White House pada 13 September 1993, dan menandatangani kerangka perjanjian damai, pihak berkuasa rejim Zionis telah merampas tanah seluas 48 kilometer persegi milik penduduk Palestin di selatan Baitulaham.

Setahun sebelum wakil Israel dan Palestin mengadakan pertemuan di White House pada 13 September 1993, dan menandatangani kerangka perjanjian damai, pihak berkuasa rejim Zionis telah merampas tanah seluas 48 kilometer persegi milik penduduk Palestin di selatan Baitulaham.

Tanah itu diubah sebagai rizab­ alam semula jadi.

Arab News melaporkan, bagaimanapun 28 tahun kemudian, tentera rejim ‘memperbaharui semula’ perintah rampasan dalam usaha menghalang pemberian permit bangunan kepada penduduk Palestin yang mempunyai tanah persendirian di beberapa kawasan tersebut.

Pengarah Institut Penyelidikan Gunaan di Baitulmuqaddis, Jad Isaac berkata, sebahagian besar kawasan tersebut ditandakan sebagai ‘Area C’ (Kawasan C), bermakna Israel mempunyai kawalan penuh terhadap individu yang boleh membangunkan tanah tersebut.

“Perintah Tentera 51-21 pada 18 November 1992 mengambil sebahagian besar kawasan di timur dan selatan Baitulaham, di sekitar pekan Saer, Arab Al-Rashida dan Shioukh,” katanya.

Menurut Isaac, penduduk Palestin tidak dibenarkan untuk membangunkan tanah seluas 29.7 kilometer persegi meskipun disenaraikan sebagai Kawasan A.

Kawasan A bererti majlis perbandaran tempatan Palestin mempunyai hak membuat keputusan pentadbiran mengenai penduduk berkenaan.

Jelas Isaac, sebanyak 10.875 kilometer persegi tanah tersebut telah dijadikan sebagai rizab­ alam semula jadi sekali gus dilihat menyekat hak penduduk Palestin di kawasan tersebut.

Menurut beliau, pihak berkuasa Israel menggunakan alasan ‘rizab alam semula jadi’ bagi menghalang penduduk Pa­lestin membangunkan tanah-tanah berkenaan.

“Ia dilakukan supaya apabila tiba masa yang sesuai, mereka mungkin boleh meluaskan pe­nempatan haram,” katanya.

Selama ini, komuniti antarabangsa khususnya Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel membenarkan penduduk Pa­lestin membangunkan tanah di kawasan tersebut.

Dalam pada itu, bekas Datuk Bandar Baitulaham, Vera Baboun berkata, langkah itu bertujuan memisahkan pentadbiran Baitulaham daripada Hebron.

“Tujuannya untuk memisahkan kawasan penduduk Palestin serta menutup kawasan bagi pertanian termasuk menyekat keupayaan petani Palestin memiliki tanah mereka sendiri sambil memberi kebebasan kepada penduduk Yahudi bergerak di tanah berkenaan,” katanya.

Laporan Times of Israel mendapati, Kementerian Pertahanan bertanggungjawab memberi kelulusan pembinaan di Kawasan C yang hanya mengeluarkan sejumlah kecil permit pembangunan.

Pelan pembangunan bagi 26 unit perumahan sudah dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa, dengan hanya enam daripada unit tersebut menerima permit.

“Nampaknya, keputusan Kabinet dilakukan Benjamin Netanyahu untuk menunjukkan Israel kononnya mahu meluluskan sebarang pembangunan bagi jutaan penduduk Palestin di wilayah yang dijajah sebenarnya merupakan pemboho­ngan besar.

“Malah, beberapa permit yang sudah diluluskan masih belum dikeluarkan,” kata pemantau dari Peace Now, Hagit Ofran kepada akhbar tersebut.

Sementara itu, Isaac berkata, sejak 1967, Israel menggunakan pelbagai perintah ketenteraan untuk mengekang pembangunan bagi penduduk Palestin.

utusan.com

captcha